1/20/2012

KISAH RUMIT PASANGAN SUAMI ISTERI (ps:rasanya lebih sesuai kalau tajuknya "SUKARNYA MEMAHAMI PEREMPUAN"

Laki telefon,
Yang oii... Abang kat kedai mamak ni... Awak nak pesan apa-apa?
Bini jawab,
Tak mau bang, bini awak diet...
Laki pun balik rumah, goyang tangan tak beli apa-apa...
Sampai rumah, tengok bini tarik muka moncong macam cencorot
Siap majuk-majuk... Lari tidur bilik sebelah....
Bila laki tanya balik,
Kan tadi awak yang tak mau pesan apa-apa yang oiii....
Bini jawab,
memangla orang kata tak mau apa-apa...
Tapi belikan jer la apa-apa....
Kalau abang beli apa-apa kita makan jerrr....
Eh, bini aku ni... Yang mana satu ni?

-----------------------------------------------------------------

Laki telefon bini,
Petang ni awak nak masak apa Yang?
Bini jawab,
Alaaahhh.... Hari-hari kena masak, penatlah bang!
Balik kerja ni Abang makan siap-siaplah
Laki pon, balik kerja.. Singgah kedai mamak
Tibai nasik beriyani kari kamben baekk punya.
Sampai umah, sendawa bau kamben...
Tiba-tiba... Bini jerit panggil suh makan!
Bang, bini awak masak sambal tumis petai, sama sup ayam,
Sama telur bistik, sama ayam goreng kunyit. Jom makan!!
Si laki terkulat-kulat pandang makanan penuh satu meja,
Sedangkan perut dia dah senak, penuh dengan kamben!
Merajuk lagiiii... Tido bilik sebelah lagi.....!!
Yang, awak ni ada kecelaruan mental ke halusinasi nih?

----------------------------------------------------------------

Abangni, kalo dok umah asek sepah umah jerlah!
Bini abang penat tau nak kemas umah semedang
Awat abang tak kuar pi mancing ker... Pi main bola ke...
Pegilah! Pegilah! Saya nak rilek-rilek dgn budak-budak nih
Si laki punyala seronok weeiii....
Dan-dan bangun pi tukar baju, capai talipon, capai kunci keta...
Bila dah siap, kuar bilik...
Tengok hanak bini dah siap-siap pakai baju lawa...
Bangggg, bini awak sama hanak-hanak ikut awak eh?

----------------------------------------------------------------

Bang, ujung mingguni balik kampung nak?
Abang keja lah yang....
Abang hantar bini abang dgn hanak-hanak dah la bang,
Pastu abang balik la KL balik
Lepas dah hantar hanak bini balik Parit Buntaq,
Esoknya, laki pon start keta... Nak balik KL.
Baru sampai Taiping, talipon berbunyi... Bini dia talipon.
Abang bila nak balik ambik kitorang bang?

----------------------------------------------------------------

Abang ni asyik tengok tibi jer dari semalam tau
Abang tak kesian bini abang ker...
Dah kelupas-kelupas kulit jari tau.. Asik basuh kain jer
Abang tulungla lipat banjaran Himalaya dalam bilik rahsia tu bang...
Laki pon, dengan muka rebel.... Masuk bilik rahsia... Lipat kain
Sekali, bini masuk bilik nak usha line... Tetiba jer kena petir
plak..
Apa awak lipat kain mcm ni banggg?
Kenapa sudut kanan tak align dgn sudut kiri nih?
Kenapa kolar baju ni awak lipat ke dalam?
kenapa spender ni awak lipat tiga?
kenapa? kenapa? kenapa?

---------------------------------------------------------------

Nah hambik anak ni bang... pakaikan pampers, pakaikan baju...
bini abang nak mandikan hanak yang sorang lagi....
Nak bagi pakai baju mana ni Yang...? <--- laki tanya Alah abangni... kan baju anak ada 8 bakul tu... pakaikan jerlah baju mana-mana pon... bukan ada org nk tengok ponnn... Bila bini tengok, anak dah siap pakai baju.... Apa pesen baju abang bagi budak ni pakai bangggg! Apsal seluar kunin, tapi baju kaler merah? kalau orang tengok, nanti orang ingat anak kita sami ha... Kesian lelaki... alahaii.... p/s: hanya untuk hiburan semata-mata :) jgn pulak ade yg terase yee (admin ZonLawak)

1/11/2012

Sukar gambarkan perhimpunan di padang Mahsyar oleh Hizbur Rahman

Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu). - Surah at-Takwir, Ayat 1-3

Penulis ialah naib juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

MAKHLUK dan alam luas ciptaan Allah SWT akan tiba masanya menempuh saat kemusnahan dan kehancuran. Lihatlah tumbuh-tumbuhan menghijau di sekeliling kita akhirnya akan kuning layu, besi yang keras berkarat dan menjadi reput, makanan segar menjadi basi, manusia dimamah usia, akhirnya menemui ajal.

Dunia yang kita duduki dan diami hari ini pun semakin tua. Suasana yang berlaku bukan terjadi secara kebetulan tetapi suatu perkhabaran dan petanda awal bahawa seluruh ciptaan Allah SWT akan menemui ajalnya pada suatu detik dinamakan kiamat.

Tiupan sangka kala pertama tanda bermulanya kiamat, manakala tiupan sangka kala kedua menandakan kebangkitan manusia yang mati sejak zaman nabi Adam sehingga manusia terakhir ketika berlaku kiamat.

Roh dan tubuh badan manusia yang berpisah ketika di alam barzakh bercantum semula hingga lengkap seperti tubuh sebelum mati untuk menghadapi hari pengadilan.


Dahsyatnya kiamat dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu).” (Surah at-Takwir, ayat 1-3)

Kebangkitan semula manusia selepas kiamat akan dihimpunkan di padang Mahsyar untuk menghadapi perbicaraan atau timbangan amalan di dunia. Setiap sudut padang Mahsyar penuh sesak dengan manusia dan jin untuk bersama mengharungi hari hisab.
Menurut Imam Ghazali, padang Mahsyar itu suatu dataran bumi yang luas, saujana mata memandang tidak dapat dihitung dengan ilmu manusia, keadaan bumi yang putih dan rata, tiada gunung ganang dan tiada pokok kayu untuk dijadikan tempat berteduh.

Pada dataran putih itulah manusia yang baru dibangkitkan semula dihalau ke sana seperti binatang ternakan keluar dari kandangnya atau seperti kanak-kanak baru lahir, dengan keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat tanpa pakaian.

Dalam keadaan terlalu gawat menghadapi cabaran Mahsyar itu manusia terlupa dirinya tidak berpakaian kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masing-masing.

Abu Hurairah berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW berpidato di hadapan sahabat bahawa manusia di padang Mahsyar akan dibangkitkan kelak dalam tiga bentuk. Pertama, dibangkitkan dengan keadaan kenderaan sudah tersedia untuk membawa mereka.

Kedua, manusia yang berjalan kaki dan ketiga, manusia yang berjalan dengan mukanya tertungging ke tanah. Digambarkan juga suasana hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia kerana masing-masing sibuk dengan hal tersendiri.

Ada yang berjalan, merangkak dan bermacam lagi dalam suasana panas cahaya matahari berada hanya sejengkal di atas kepala. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk bergantung kepada tahap amalan semasa di dunia.

Ketika sedang terlalu dahaga, datang malaikat Zabaniah membawa air untuk ahli Mahsyar. Pada mulanya ahli Mahsyar amat gembira, malangnya air itu tersangat panas sehingga apabila mangkuk air didekatkan ke bibir, maka daging bibir luruh berguguran kerana air terlalu panas.

Persoalan besar timbul dalam kalangan ahli di padang Mahsyar ialah berapa lama mereka mesti berada di dataran itu? Ada pendapat mengatakan selama 300 tahun mengikut tahun akhirat.

Walaupun tidak ada pohon untuk memberi perlindungan dari bahan panas terik, tetapi Allah SWT menyediakan bayang Arasy yang redup. Mereka yang mendapat naungan Arasy antaranya ialah golongan al-Muqarrabun iaitu orang yang dekat dengan Allah SWT.

Golongan al- Muqarrabun merujuk kepada mereka ketika hidupnya di dunia sentiasa patuh arahan Allah SWT serta meninggalkan perkara yang dilarang sama ada dalam soal akidah atau syariah.

Yakinlah bahawa setiap manusia di padang Mahsyar nanti akan melalui perbicaraannya, disoal dan diperiksa satu persatu, tidak akan terkecuali sesuatu pun dari hidupnya di dunia sekalipun yang sulit dan tersembunyi. Bahkan semua anggota dan bahagian kecil tubuh pun ditanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal empat perkara; umurnya pada perkara apakah ia habiskan; masa mudanya untuk apa digunakan; harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan amalan dilakukan sesuai dengan apa yang telah diketahuinya?” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Insaflah dan sedarlah bahawa kegawatan dan kesengsaraan di padang Mahsyar yang memakan masa ratusan tahun itu amat dahsyat. Marilah kita semasa masih sihat, bertenaga dan ada peluang melakukan muhasabah diri serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Muhasabah penting supaya buku rekod catatan amalan menunjukkan amalan yang cemerlang dan digolongkan sebagai kumpulan al-Muqarabbun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat kerana bingung dan cemas.” (Surah Ibrahim, ayat 42-43)